Skip to main content

SOALAN LAZIM

Soalan Lazim

Berikut merupakan soalan-soalan lazim bagi setiap unit di Pejabat Bendahari UTHM. Sila pilih unit untuk mengetahui lebih lanjut.

Unit Perolehan

Di mana iklan Tender / Sebut Harga UTHM boleh diperolehi ?

Sebarang iklan bagi Tender / Sebut Harga UTHM akan dimuat naik dalam Portal UTHM di Iklan dan Keputusan Perolehan UTHM

Apakah kelayakan yang diperlukan untuk menyertai Tender / Sebut Harga UTHM ?

Pihak syarikat perlu mendaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia atau CIDB di dalam kod bidang berdaftar yang berkaitan serta masih berkuatkuasa ketika ingin menyertai.

Bagaimanakah cara untuk menjadi pembekal yang berdaftar di UTHM?

Pembekal boleh memuat turun Borang Pendaftaran Syarikat dengan melayari laman web Pejabat Bendahari di http://pb.uthm.edu.my/vts_v5/tawaran.php

Bagaimanakah cara untuk mendapatkan maklumat tawaran sebutharga atau tender yang dikeluarkan oleh UTHM?

Pembekal boleh mendapatkan maklumat tersebut di Laman Web UTHM di ruangan e-Procurement atau di Papan Kenyataan Pejabat Bendahari.

Berapa lamakah tempoh masa yang diambil dalam memproses pesanan rasmi?

Proses Pesanan Rasmi akan dikeluarkan dalam masa 7 hari bekerja selepas menerima permintaan pesanan bersama-sama dokumen sokongan yang lengkap.

Unit Akaun Pelajar

Bagaimana saya ingin mendapatkan pengesahan pembayaran yang dibayar secara atas talian?

Pelajar boleh membuat permohonan terus di kaunter Pejabat Bendahari atau telefon 07-4537054/ 07-4537080 atau email kepada kami di This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

Saya telah membuat bayaran di epayment.uthm.edu.my tetapi pembayaran saya tidak dikemaskini. Mengapa?

Bagi pembayaran dikemaskini secara automatik, pelajar digalakkan hanya menggunakan browser “Internet Explorer” sahaja.

Saya telah membuat bayaran secara Jompay, tetapi tidak dikemaskini di dalam system. Mengapa?

Bayaran secara Jompay hanya akan dikemaskini dalam tempoh 3 hari bekerja setelah bayaran tersebut dibuat.

Jika saya tidak menginap di asrama tetapi caj telah dikenakan ke atas saya, apa yang perlu saya lakukan?

Pelajar yang tidak menginap di asrama perlu mendapatkan pengesahan daripada kolej dan pejabat bendahari akan mengeluarkan caj tersebut daripada yuran pengajian.

Jika matapelajaran saya adalah bawah 6 jam kredit, adakah layak saya mendapat pengurangan yuran?

Pelajar yang mendaftar bawah 6 jam kredit hanya akan mendapat pengurangan separuh yuran pengajian sekiranya berada di dalam semester lanjutan.

Unit Akaun & Sistem

Berapa baki Tabung Amanah fakulti saya?

Baki Tabung Amanah bagi fakulti atau jabatan hanya boleh disemak oleh staf kewangan PTj melalui sistem SAGA. Wakil fakulti atau jabatan boleh menghubungi staf yang terlibat.

Bagaimana untuk membuka Tabung Amanah?

Permohonan untuk membuka Tabung Amanah hendaklah dikemukakan kepada Unit Akaun & Sistem dengan mengisi borang BEN/UA/001 beserta kertas kerja penubuhan yang lengkap. Permohonan tersebut sekiranya memenuhi syarat, akan dikemukakan untuk kelulusan dalam mesyuarat-mesyuarat berkaitan.

Bagaimana untuk memohon Panjar Wang Runcit

Panjar Wang Runcit hanya dibenarkan untuk PTj kewangan sahaja. Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Unit Akaun & Sistem beserta maklumat lengkap seperti berikut :-

  • Tujuan penggunaan 
  • Jumlah panjar wang runcit yang dipohon

Dan lain-lain sekiranya berkaitan.

Permohonan tersebut sekiranya memenuhi syarat akan dikemukakan untuk kelulusan Bendahari.

Bolehkah memohon penambahan amaun PWR?

Boleh. PTj hendaklah mengemukakan permohonan tersebut kepada Unit Akaun & Sistem beserta maklumat dan justifikasi penambahan amaun PWR. Kelulusan adalah tertakluk kepada Bendahari.

Saya ada terima cek dari UTHM, tapi terdapat kesilapan. Bagaimana cara nak mohon untuk batal cek tersebut dan ganti baru?

Permohonan pembatalan & penggantian cek disebabkan kesalahan ejaan atau cek tamat tempoh boleh dikemukakan dengan mengisi borang BEN/UA/004 dan menyertakan cek asal kepada Unit Akaun & Sistem. Penerima bayaran digalakkan untuk mengemukakan maklumat akaun bank supaya pembayaran boleh terus dikreditkan ke akaun penerima. 

Unit Pembayaran Tuntutan & Pendahuluan

Apakah elaun/kemudahan/bayaran yang layak dituntut oleh seseorang pegawai yang diarahkan bertukar ke luar stesen?

Pegawai yang diarahkan bertukar ke luar stesen layak menuntut Elaun Pertukaran yang terdiri daripada :

  • Tambang perjalanan
  • Tambang pengangkutan barang
  • Tambang mengangkut kenderaan jika bertukar yang tidak boleh dihubungi dengan cara berkereta
  • Pemberian Pindah
  • Elaun Gantian Makan
  • Bayaran Sewa Hotel/Elaun Lojing
  • Belanja Pelbagai
Bagaimanakah kaedah untuk menentukan jarak stesen bagai tujuan pertukaran?

Jarak stesen hendaklah menggunakan radius (lingkungan kawasan) yang boleh ditentukan melalui aplikasi Google Maps dari pejabat lama ke pejabat baru.

Berapakah bilangan kenderaan yang boleh dituntut semasa pegawai bertukar ke luar stesen?

Bilangan kenderaan yang boleh dituntut ke tempat pegawai bertukar sama ada ianya boleh dihubungi secara berkereta atau sebaliknya adalah terhad kepada sebuah kenderaan milik pegawai sahaja.

Adakah aktiviti berkaitan sukan/kelab/persatuan/keagamaan termasuk tugas rasmi?

Tidak. Tugas yang melibatkan badan sosial/sukarela/sukan/aktiviti sosial, aktiviti keagamaan dan sebagainya seperti tidak boleh dianggap sebagai tugas rasmi bagi maksud kelayakan membuat tuntutan eluan bertugas rasmi.

Adakah pegawai yang bertugas rasmi dan telah disediakan makan di dalam penerbangan layak menuntut Elaun Makan?

Ya. Pegawai layak menuntut Elaun Makan walaupun kemudahan makan disediakan dalam penerbangan kerana kemudahan makan di dalam penerbangan dan Elaun Makan di bawah PP WP1.4 adalah 2 kemudahan berbeza. Kemudahan makan di dalam penerbangan merupakan complimentary yang dibenarkan kerana pegawai menggunakan perkhidmatan tersebut dan disediakan oleh syarikat penerbangan bersekali dengan tiket kapal terbang, manakala Elaun Makan di bawah pekeliling perbendaharaan diberikan kerana pegawai menjalankan tugas rasmi di luar Ibu Pejabat. 

Adakah pegawai yang bertugas rasmi semasa bulan Ramadhan layak menuntut Elaun Makan/Elaun Harian?

Ya. Pegawai yang bertugas rasmi semasa bulan Ramadhan layak menuntut Elaun Makan/Elaun Harian seperti bulan-bulan lain tertakluk mematuhi syarat yang ditetapkan.

Adakah pengiraan tuntutan bahagian makan yang tidak disediakan sebagai contoh 20% bagi sarapan pagi dan sebagainya terpakai untuk Elaun Harian?

Tidak. Pengiraan tuntutan bahagian makan yang tidak disediakan sebagai contoh 20% bagi sarapan pagi dan sebagainya tidak terpakai bagi Elaun Harian dan hanya terpakai bagi Elaun Makan sahaja.

Adakah pegawai yang bertugas rasmi dan disediakan makan tengah hari oleh penganjur/urusetia layak menuntut Elaun Harian?

Tidak. Pengiraan tuntutan bahagian makan yang tidak disediakan sebagai contoh 20% bagi sarapan pagi dan sebagainya tidak terpakai bagi Elaun Harian dan hanya terpakai bagi Elaun Makan sahaja.

Apakah yang dimaksudkan dengan lojing?

Lojing bermaksud tempat menginap pegawai selain hotel atau rumah dan dibayar sekiranya pegawai menginap di rumah kawan, saudara mara dan lain-lain. Lojing bagi maksud pekeliling perbendaharaan adalah tempat menginap di dalam bangunan yang mempunyai kemudahan asas tempat tidur dan tandas seperti rumah kediaman. Masjid/surau/kenderaan/tempat persinggahan dan lain-lain yang seumpanyan tidak termasuk istilah lojing.

Adakah pegawai yang menginap di rumah sendiri (rumah lain selain rumah yang didiami) layak menuntut Elaun Lojing?

Ya, pegawai layak menuntut Elaun Lojing sekiranya menginap di rumah milik pegawai semasa bertugas rasmi di luar Ibu Pejabat tertakluk kepada syarat rumah tersebut bukanlah rumah yang didiami oleh pegawai pada hari bekerja biasa.

Adakah resit tempahan hotel daripada laman web seperti Trivago, Agoda.com, booking.com dan sebagainya boleh digunakan dalam tuntutan Bayaran Sewa Hotel?

Ya, resit tempahan hotel dari laman web seperti Trivago, Agoda.com, booking.com dan sebagainya boleh digunakan dalam tuntutan Bayaran Sewa Hotel. Resit dalam konteks tuntutan ini adalah merujuk kepada dokumen yang mengesahkan bayaran telah dilaksanakan bagi tujuan penginapan tersebut.

Adakah pegawai boleh menuntut caj late check out sekiranya check out melebihi waktu yang dibenarkan disebabkan urusan tugas rasmi selesai selepas tempoh penginapan yang dibenarkan?

Tidak. Pegawai tidak boleh menuntut caj late check out sekiranya check out melebihi waktu yang dibenarkan disebabkan urusan tugas rasmi selesai selepas tempoh penginapan yang dibenarkan.

Adakah pegawai yang bertugas rasmidi luar Ibu Pejabat boleh dibayar Bayaran Sewa Hotel bagi hari minggu (hari tidak bertugas) sekiranya tarikh bertugas bagi hari seterusnya melangkaui hari minggu?

Ya. Pegawai yang bertugas rasmi di luar Ibu Pejabat boleh dibayar Bayaran Sewa Hotel bagi hari minggu (hari tidak bertugas) sekiranya tarikh bertugas bagi hari seterusnya melangkaui hari minggu.

Bagaimanakah jarak perjalanan bertugas rasmi dikira? Adakah bermula dari rumah atau pejabat?

Secara prinsipnya, perjalanan bagi bertugas rasmi adalah bermula dari pejabat ke tempat bertugas rasmi. Namun sekiranya perjalanan perlu dibuat sebelum waktu bekerja untuk ke tempat bertugas rasmi, perjalanan dari rumah boleh dilaksanakan dengan mengambil kira perjalanan terdekat bagi tujuan penjimatan kos.

Prinsip jarak terdekat bagi tujuan penjimatan adalah terpakai dalam apa jua keadaan selagi mana munasabah.

Dimanakah dinyatakan pengiraan mengikut prinsip jarak terdekat?

Pengiraan tuntutan perjalanan berdasarkan prinsip jarak terdekat adalah selaras dengan syarat am di Perenggan 19(a), Perintah Am Bab B Tahun 1974 yang menyatakan tentang perjalanan mengikut mana yang sehabis dekat dan murah dengan cara pengangkutan yang bersesuaian dengan kecekapan.

Adakah pegawai layak menuntut Elaun Perjalanan Kenderaan dari rumah ke KLIA secara pergi balik bagi dua hala perjalanan sekiranya dihantar oleh pasangannya?

Tidak. Pegawai tidak layak menuntut Elaun Perjalanan Kenderaan dari rumah ke KLIA secara pergi balik bagi dua hala perjalanan sekiranya dihantar oleh pasangannya kerana perjalanan adalah dikira secara sehala iaitu perjalanan pergi ke KLIA dan perjalanan pulang dari KLIA

Adakah pegawai layak membuat tuntutan perjalanan sekiranya diarahkan bertugas semasa bercuti di mana-mana kawasan dalam Malaysia?

Layak. Pegawai layak membuat tuntutan perjalanan sekiranya diarahkan bertugas semasa bercuti di mana-mana kawasan dalam Malaysia. Peraturan berkaitan kelayakan tersebut adalah ditetapkan di dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1972 yang dikawal selia oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

Apakah kadar Tambang Gantian yang perlu dirujuk, sama ada mengikut kadar pada tarikh perjalanan atau tarikh tuntutan dibuat

Kadar Tambang Gantian yang dirujuk adalah kadar tambang standard (tanpa diskaun) kapal terbang/kereta api yang ditetapkan oleh syarikat yang ditetapkan oleh syarikat pemberi perkhidmatan kepada Kerajaan pada tarikh perjalanan dilaksanakan.

Adakah bayaran telefon termasuk caj internet?

Tidak. Kemudahan telefon adalah bagi bayaran perkhidmatan panggilan telefon sahaja dan tidak termasuk penggunaan kemudahan internet.

Adakah pegawai yang bertugas rasmi diluar Ibu Pejabat boleh membuat tuntutan belanja dobi yang dihantar setelah pulang dari tugasan tersebut?

Tidak. Belanja dobi yang layak dituntut oleh pegawai yang menggunakan perkhidmatan dobi adalah dalam tempoh bertugas rasmi itu sahaja.

Adakah pegawai yang meletak kenderaan di lapangan terbang boleh menuntut bayaran letak kereta?

Ya. Pegawai yang bertugas di dalam atau di luar Ibu Pejabat adalah layak menuntut Belanja Pelbagai seperti bayaran letak kereta tertakluk mematuhi peraturan berkuatkuasa. 

Apakah yang dimaksudkan dengan jumlah tuntutan perjalanan bagi tuntutan ganti rugi pertukaran mata wang asing pada kadar 3%?

Jumlah tuntutan perjalanan tersebut adalah merujuk kepada komponen kemudahan bertugas di luar negeri iaitu Elaun Makan/Elaun Harian, Bayaran Sewa Hotel/Elaun Lojing dan Tuntutan Pelbagai (Belanja Pelbagai)

Adakah pegawai layak membuat tuntutan ganti rugi pertukaran mata wang asing sekiranya transaksi perbelanjaan dibuat menggunakan Ringgit Malaysia?

Ya. Pegawai layak membuat tuntutan ganti rugi pertukaran mata wang asing sekiranya transaksi perbelanjaan dibuat menggunakan Ringgit Malaysia.

Apakah Tambang Perjalanan yang layak dituntut oleh pegawai lantikan pertama di UTHM?

Tambang Perjalanan yang layak dituntut oleh pegawai lantikan pertama mengikut kelayakan pegawai adalah seperti berikut :

  • Tambang Pengangkutan Awam;
  • Elaun Perjalanan Kenderaan; dan/atau
  • Tiket kapal terbang

Bermula dari tempat kediaman ke mana-mana tempat yang diarahkan untuk melapor diri/berkursus/menghadiri  taklimat dan sebagainya  sehingga ke Pejabat diarahkan bertugas secara tetap.

Tambang perjalanan yang layak dituntut adalah sebelum melapor diri (perjalanan dari kediaman) dan semasa dalam perjalanan melapor diri hingga ke Pejabat akhir pegawai ditempatkan.

Adakah pegawai lantikan pertama layak menuntut lain-lain kemudahan seperti Bayaran Sewa Hotel selain Tambang Perjalanan?

Tidak layak. Kelayakan tuntutan pegawai lantikan pertama adalah terhad kepada Tambang Perjalanan sahaja.

Apakah maksud Pendahulan Diri?

Pendahuluan diri bermaksud sesorang staf layak memohon pendahuluan bagi bayaran elaun sewa hotel dan elaun makan sahaja semasa menjalankan tugas rasmi, menghadiri kursus dan bertukar stesen mengikut kadar yang sedang berkuatkuasa.

Apakah maksud Pendahuluan Aktiviti Pelajar?

Pendahuluan aktiviti pelajar bermaksud seseorang staf layak memohon pendahuluan tertakluk kepada garis panduan program/aktiviti pelajar.

Apakah maksud Pendahuluan Pelbagai

Pendahuluan Pelbagai bermaksud seorang staf yang layak memohon pendahuluan bagi program/aktiviti rasmi universiti dan perbelanjaan berkenaan tidak boleh dibuat melalui panjar wang runcit.

Berapakah had minima permohonan Pendahuluan Diri?

Had minima permohonan Pendahuluan Diri adalah seperti berikut:

Bil

Kumpulan Jawatan

Amaun (RM)

1

Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Profesional

500.00

2

Kumpulan Pelaksana (Gred 17 hingga 40)

300.00

3

Kumpulan Pelaksana (Gred 16 dan ke bawah)

Tiada had

Berapakah had maksima permohonan pendahuluan aktiviti pelajar dan pelbagai?

Had maksima permohonan pendahuluan aktiviti pelajar dan pelbagai adalah seperti berikut:

Bil

Kumpulan Jawatan

Amaun (RM)

1

Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Profesional

Tiada Had

2

Kumpulan Pelaksana (Gred 27 hingga 40)

3,000.00

3

Kumpulan Pelaksana (Gred 16 dan ke bawah)

Tidak dibenarkan

Unit Hasil & Kawalan Kredit

Bagaimanakah cara untuk membuat permohonan pengeluaran invois ?

Permohonan pengeluaran invois merujuk perkara di bawah:- 

  • Pihak tuan/puan boleh mengisi borang permohonan BEND/UHP/001 – Borang Permohonan Pengeluaran Inbois di laman web Pejabat Bendahari , UTHM  berserta dokumen yang disenaraikan.
  • Dokumen yang telah lengkap diisi, perlu dihantar ke Bahagian Kewangan Pusat Tanggungjawab untuk semakan serta pengesahan PTj.
  • Seterusnya, PTj perlu menghantar permohonan yang telah lengkap ke Unit Hasil & Kawalan Kredit , Pejabat Bendahari untuk kelulusan.
Bagaimanakah cara untuk menjelaskan bayaran pelekat kenderaan dan dendaan kesalahan lalulintas di dalam kawasan kampus UTHM ?

Bayaran pelekat kenderaan dan dendaan kesalahan lalulintas boleh di buat melalui  Portal E-Payment UTHM. Pihak tuan/puan juga boleh membuat bayaran-bayaran lain yang terdapat pada Portal E-Payment kami.

Bolehkah UTHM menerima bayaran secara tunai ?

Pihak UTHM tidak menerima sebarang terimaan secara tunai seperti di dalam Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia Bil 3/2025 Lampiran D : Garis Panduan Pengurusan Terimaan Kerajaan Secara Elektronik (Tanpa Tunai). Semua pembayaran boleh dibuat melalui pemindahan wang, E-Payment  atau  E-Debit / E-Post.

Apakah prosedur serta dokumen sokongan bagi tujuan pengeluaran resit?

Semua pembayaran boleh dihantar ke alamat email This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. atau whatsapp kami di talian 07-4537814.

  • Bagi pembayaran biasa : Pihak tuan/puan boleh membuat bayaran serta mengemukakan nama, tujuan dan bukti pembayaran
  • Bagi pembayaran Invois : Pihak tuan/puan perlu meletakkan no invois di bahagian rujukan pembayaran sewaktu bayaran dibuat.
Bagaimanakah cara pembayaran bagi penyertaan kursus kepada pelajar & orang luar?

Pembayaran masih boleh dilakukan melalui pemindahan wang dan urusetia program boleh merujuk kepada UTHM Bitara untuk penyediaan google form bagi memudahkan urusan penyertaan dan pengeluaran resit rasmi universiti.

Bagaimanakan untuk mendapatkan pengecualian cukai di Bawah Subseksyen 44 ( 6 ) ACP Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi program Universiti ?

Permohonan pengecualian cukai di Bawah Subseksyen 44 ( 6 ) ACP Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi program Universiti, pihak tuan/puan perlu:- 

  • Mengisi Lampiran A – Borang Kebenaran Mendapatkan Pengecualian Cukai  yang di lampirkan di laman  web Pejabat Bendahari , UTHM  berserta dokumen yang disenaraikan.
  • Dokumen yang telah lengkap diisi perlu dihantar ke Bahagian Kewangan Pusat Tanggungjawab untuk semakan serta pengesahan PTj.
  • Dokumen yang telah lengkap diisi perlu dihantar ke Unit Hasil & Kawalan Kredit , Pejabat Bendahari untuk kelulusan.

Unit Bajet

Bilakah peruntukan akan disalurkan kepada PTJ bagi membolehkan PTJ membuat perbelanjaan pada awal setiap tahun?

Peruntukan akan disalurkan di dalam Sistem Century Financial 8.2 selepas diperakukan didalam Mesyuarat Agihan Bajet Universiti dan PTJ boleh membuat bayaran atau perbelanjaan berdasarkan kepada tarikh yang ditetapkan didalam pekeliling tatacara penutupan akaun.

Bagaimanakah PTJ boleh memantau kaedah makluman perbelanjaan PTJ pada setiap bulan?

PTJ boleh menyemak laporan perbelanjaan di Sistem Century Financial 8.2 dengan menjana (Budgetary control > Report>Laporan Buku Vot).

Apakah viremen atau pindah peruntukan?

Pindah Peruntukan adalah proses pengagihan semula peruntukan sama ada melibatkan Objek Sebagai/Objek Am dalam Aktiviti/Program yang sama atau berlainan.

Apakah pekeliling yang melibatkan viremen atau pindah peruntukan?

Pekeliling Bendahari BIl 6/2003 Pindah Peruntukan Perbelanjaan Mengurus Universiti dan Surat Pekeliling Bendahari B Bil 2/2013 Pindaan had kuasa pindah peruntukan.

Bagaimanakah PTJ ingin membuat permohonan viremen atau pindah peruntukan?

Viremen dalaman dan viremen kepada PTJ lain perlu menggunakan borang pindah peruntukan yang perlu ditandatangani oleh ketua Jabatan dan dihantar kepada Unit Bajet untuk tindakan. Borang tersebut boleh dimuat turun di bahagian borang di Laman Web Pejabat Bendahari.

Bagaimanakah cara untuk melihat baki peruntukan di PTJ?

Baki peruntukan boleh dilihat melalui sistem Sistem Century Financial 8.2 (Budgetary Control >Report > Laporan Buku Vot).

Apakah yang berlaku kepada peruntukan yang tidak dibelanjakan pada akhir tahun kewangan?

Peruntukan yang disalur tetapi tidak dibelanjakan pada akhir tahun kewangan akan TAMAT TEMPOH dan TIDAK akan dibawa ke tahun kewangan berikutnya. Baki peruntukan mengurus yang tidak dibelanjakan juga TIDAK BOLEH dipindahkan ke mana-mana Akaun Amanah/Tabung PTJ.

Apakah pekeliling yang digunapakai meilbatkan kertas kerja?

Pekeliling Bendahari Bil 3/2023 tatacara pengurusan kertas kerja penganjuran program/ aktiviti di UTHM.