PEJABAT BENDAHARI

KOLEJ UNIVERSITI TEKNOLOGI TUN HUSSEIN ONN

KUiTTHO.PB/10.12/04( 05)

 

PEKELILING BENDAHARI BIL. 5/2002

 

 

Semua Pengurus Bahagian

Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn

 

Tuan

 

KADAR SUMBANGAN BAGI PERKHIDMATAN KEPAKARAN TERMASUK AKTIVITI PENYELIDIKAN KONTRAK, PERUNDINGAN, PENGUJIAN DAN PENGAJIAN BERTERUSAN

 

Adalah dimaklumkan bahawa Lembaga Pengarah Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn telah meluluskan kertas kerja mengenai perlaksanaan perkara  di atas di Mesyuarat Lembaga Pengarah KUiTTHO pada 25 Oktober 2002 seperti berikut :-

 

 

1.0             TUJUAN

 

Pekeliling ini bertujuan untuk menjelaskan mengenai kadar sumbangan ke Universiti bagi perkhidmatan kepakaran dalam aktiviti penyelidikan kontrak, perundingan, pengujian dan pengajian berterusan.

 

 

2.0             DEFINISI

 

2.1             Perkhidmatan kepakaran ditakrifkan sebagai perkhidmatan yang melibatkan staf akademik atau bukan akademik KUiTTHO dalam mana-mana bidang yang mampu dilaksanakan, dalam aktiviti penyelidikan kontrak, perundingan, pengujian dan pengajian berterusan atau apa-apa jenis khidmat lain yang berkaitan.

 

2.2             Penyelidikan kontrak ditakrifkan sebagai aktiviti penyelidikan yang biasanya menghasilkan penemuan baru, dengan melibatkan perjanjian kontrak antara penyelidik KUiTTHO bersama pihak pelanggan yang perlu dilaksanakan dalam tempoh masa tertentu, dengan menggunakan kepakaran dan kemudahan di KUiTTHO dimana kos perkhidmatan kepakaran adalah ditanggung oleh pihak pelanggan.

 

2.3             Perundingan ditakrifkan sebagai aktiviti atau projek perundingan dengan pihak pelanggan yang melibatkan memorandum perjanjian projek dengan tanggungjawab dan liabiliti professional dalam bidang sains dan kejuruteraan berdasarkan peraturan tertentu termasuk Lembaga Jurutera Malaysia dan Majlis Tempatan, menggunakan kepakaran dan kemudahan KUiTTHO dengan kos perkhidmatan kepakaran yang  ditanggung oleh pihak pelanggan.

 

2.4             Pengujian ditakrifkan sebagai aktiviti pengujian dan tentukuran sesuatu produk yang dilakukan oleh staf KUiTTHO dengan menggunakan kemudahan dan peralatan makmal atau bengkel tertentu samada di dalam atau di luar KUiTTHO selaras dengan kehendak pelanggan dengan pengesahan tertentu dengan kos perkhidmatan kepakaran yang ditanggung oleh pihak pelanggan.

 

2.5             Pengajian Berterusan ditakrifkan sebagai program pendidikan yang diperlukan oleh pihak pelanggan dari masa ke semasa dengan melibatkan kemudahan dan staf   KUiTTHO untuk mengedalikannya termasuk kursus pendek atau panjang, seminar, kolokium, latihan, dan bengkel dalam bidang tertentu.

 

 

3.0             KAEDAH PERLAKSANAAN SEMASA

 

3.1             Perkhidmatan kepakaran yang dijalankan oleh KUiTTHO boleh melalui Pusat Penyelidikan, Perundingan dan Pengajian Berterusan (PPB) atau mana-mana pusat kecemerlangan yang sedia ada atau yang akan diwujudkan di KUiTTHO.

 

3.2             Pada masa ini,  KUiTTHO menerima apa-apa kadar atau peraturan yang berkaitan dan digunapakai oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) iaitu Pekeliling Pejabat Bendahari Bil. 1/1999 (UTM) seperti yang dipersetujui dalam mesyuarat Senat KUiTTHO, dimana sumbangan ke tabung perundingan Universiti dan penyelidikan kontrak adalah seperti berikut:

 

 

§                     20% - berdasarkan kos projek sehingga RM200,000

§                     15% - bagi tambahan kos projek sehingga RM400,000

§                     10% - bagi tambahan seterusnya.

 

3.3             Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Senat Mengenai Penyelidikan, Perundingan dan Pengajian Berterusan (JKSP) Bil. 2/2002 pada 14 Jun 2002 membincangkan satu kertas kerja yang berkaitan dengan kertas kerja ini iaitu Cadangan Garispanduan dan Peraturan Menjalankan Penyelidikan Kontrak, Perundingan dan Pengujian di KUiTTHO, dan dalam proses pembaikan.

 

3.4             Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 1985 (Jabatan Perkhidmatan Awam) telah menetapkan nisbah kadar bayaran bagi kerja-kerja perundingan seperti yang berikut. Pekeliling ini tidak digunapakai oleh pihak UTM dan juga KUiTTHO.

 

Jumlah upah setahun

Kadar yang boleh disimpan oleh pegawai

 

Kadar yang diambil oleh Universiti

 RM10,000.00

 

100%

-

RM10,000.00 yang kedua

 

75%

25%

Upahan yang seterusnya

 

50%

50%

 

3.5             Kaedah perlaksanaan semasa mengenai kadar sumbangan ke Universiti adalah seperti berikut:

 

3.5.1       Bayaran yuran daripada kerja-kerja perkhidmatan kepakaran diagihkan antara penyelidik/perunding (90%) dan tabung tertentu (10%), di mana tabung tertentu adalah tabung PPB (5%) dan tabung Jabatan (5%) di mana staf yang terlibat ditugaskan.

 

3.5.2       Kadar 10% daripada keseluruhan kos perkhidmatan kepakaran adalah diambil daripada tambahan yang dicaj kepada pelanggan atau dipotong daripada bahagian/yuran yang diterima oleh penyelidik/perunding.

 

 

 

4.0             KADAR SUMBANGAN YANG BARU DAN PERLAKSANAANNYA

 

4.1             Mesyuarat Lembaga Pengarah telah memutuskan supaya kadar sumbangan kepada Universiti ditetapkan mengikut kadar peratusan berdasarkan kos perkhidmatan yang dicaj kepada pelangggan.

 

4.2             Kadar sumbangan yang baru adalah seperti berikut :-

 

Kadar sumbangan 20% bagi kos perkhidmatan kepakaran sehingga RM250,000; 15% bagi tambahan kos melebihi RM250,000 sehingga RM500,000; dan 10% bagi tambahan seterusnya. Sila rujuk jadual berikut :-

 

Jumlah Kos Perkhidmatan

 

(RM)

Kadar yang perlu dicaj kepada pelanggan

(%)

 

Dari RM1.00 sehingga RM250,000.00

 

20%

Tambahan dari RM250,001.00 sehingga RM500,000.00

 

15%

Tambahan selepas RM500,001.00 yang berikutnya

 

10%

 

4.3             Semua penyelidik/perunding yang berurusan dengan pelanggan adalah tidak dibenarkan sama sekali memberitahu peratusan yang akan diambil oleh Universiti, memadai dengan jumlah keseluruhan kos  projek.

 

4.4             Semua sumbangan ke Universiti akan dimasukkan ke dalam tabung pusingan perkhidmatan pakar (Tabung PPB) di bawah seliaan Pusat Penyelidikan, Perundingan dan Pengajian Berterusan (PPB).

 

4.5             Sumbangan kepada tabung-tabung jabatan adalah tidak dibenarkan.

 

 

 


 

 

5.0             BAYARAN KEPADA PENYELIDIK/PERUNDING

 

5.1             Penyelidik / perunding adalah layak menerima kos perkhidmatan yang dituntut daripada pelanggan, manakala kadar sumbangan kepada Universiti akan dimasukkan ke dalam tabung Universiti.

 

5.2       Tiada had bayaran dikenakan kepada perunding / penyelidik. Dekan atau Ketua Jabatan perlu mengawasi dan memantau tugas serta tanggungjawab akademik staf yang terlibat.

 

5.3       Peraturan dan tatacara pembayaran kepada penyelidik / perunding adalah tertakluk kepada peraturan pembayaran Universiti yang sedang berkuatkuasa.

 

5.4       Bayaran kepada perunding / penyelidik hanya akan dibuat setelah bayaran penuh atau sebahagian bayaran diterima daripada pelanggan.

 

5.4       Bayaran kepada pelajar dihadkan kepada RM5,000.00 sahaja  setahun.

 

 

6.0             LAIN-LAIN PERATURAN KEWANGAN

 

6.1       Kos pelbagai*  yang dicaj kepada pelanggan adalah tertakluk kepada peraturan yang digunapakai oleh Universiti atau Kementerian Kewangan Malaysia atau agensi lain yang berkaitan dan dituntut bersekali dengan kos perkhidmatan dan kadar sumbangan kepada Universiti.

 

6.2       Aktiviti perkhidmatan kepakaran adalah tertakluk kepada semua garispanduan, peraturan atau pekeliling berkaitan yang digunapakai oleh Universiti.

 

6.3             Pihak Universiti adalah berhak untuk meminda mana-mana peraturan berkaitan semua perkara di atas.

 

(* Kos pelbagai yang dimaksudkan adalah seperti sewa makmal,  sewa peralatan, bangunan serta lain-lain penggunaan kemudahan yang dikenakan caj oleh Universiti )

 

 

 

7.0             KUATKUASA  PEKELILING

 

7.1             Pekeliling ini berkuatkuasa pada tarikh ianya dikeluarkan dan dibaca bersama Pekeliling Perbendaharaan, Surat Pekeliling Perbendaharaan dan Arahan Perbendaharaan yang berkuatkuasa dimana bersesuaian.

 

7.2             Dengan berkuatkuasanya Pekeliling ini, maka para 3.2 dan 3.5 adalah dibatalkan berkuatkuasa serta merta.

 

Kerjasama dan perhatian tuan adalah diharapkan agar dapat memanjangkannya kepada staf di bahagian tuan.

 

 

Sekian, terima kasih.

 

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

 

Yang benar

 

 

 

ABU BAKAR BIN HUSSAIN

Pemangku Bendahari

07-4536007

 

 

            s.k       -           Yg. Bhg. Rektor

                        -           Yg. Bhg. Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar)

                        -           Yg. Bhg. Timbalan Rektor (Akademik)

-                     Pendaftar

-                     Ketua Unit Audit Dalam